NURUL SHUKOR bukanlah orang baru dalam bidang persolekan tanah air. Penglibatannya dalam bidang kecantikan sudah menjangkau usia 20 tahun.
Dilahirkan di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah, jurusolek ternama ini pada asalnya merupakan seorang pelayan di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur.
Meskipun mempunyai kerjaya tetap di hotel berkenaan, namun minat dan kecenderungan Nurul pada bidang kecantikan dan fesyen tidak pernah luntur. Minat itu kemudiannya dikembangkan apabila rakan-rakan rapatnya sering meminta khidmatnya untuk memotong rambut dan menata rias mereka. Semua itu dilakukannya secara hobi.
Pada awal tahun 1990-an, Nurul yang masih lagi berhidmat dengan hotel berkenaan mendapat pengiktirafan sebagai Kakitangan Terbaik (Bulanan) yang menawarkannya peluang mengikuti latihan secara formal dalam bidang pengurusan di Singapura selama sebulan.
Peluang berada di Singapura digunakan oleh Nurul untuk turut sama mengintai peluang mendalami ilmu dandanan rambut, solekan dan penataan imej secara profesional yang ditawarkan di negara jiran itu.
Selepas mempunyai wang simpanan yang cukup serta keyakinan diri, Nurul akhirnya berhenti kerja dan memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminatinya di akademi dandanan rambut, Peter N Guy’s Singapura.
Selama dua tahun dia menimba ilmu di sana, Nurul kemudiannya memilih untuk bekerja di negara berkenaan sebagai Pendandan Rambut Junior selama setahun.
Pada tahun 1994, Nurul membuat keputusan untuk kembali ke tanah air untuk memulakan kariernya di negara asalnya dan bekerja sebagai pendandan rambut di Zotos Saloon, Plaza Kotaraya, Kuala Lumpur selama lima bulan.
Bertuah Nurul apabila tidak lama selepas itu, dia diperkenalkan oleh seorang teman kepada seorang jurusolek diraja yang sangat masyhur, Ema Amir. Ema juga menguruskan salun kecantikan yang sangat popular, G40 di Wisma HLA, Kuala Lumpur.
Di G40, Nurul benar-benar menyenangi tugasnya sebagai pendandan rambut dan jurusolek. Apa lagi peluang bekerja dengan nama-nama hebat dalam bidang yang sama seperti Amm, Bani, Raja Malek, Fendi dan Ema sendiri.
Salun G40 disifatkan oleh Nurul sebagai pusat latihan buatnya kerana di situlah dia akhirnya menggapai impiannya sebagai jurusolek artis profesional. Tugasan pertama memberikan keyakinan diri yang amat teguh buat Nurul.
Pada masa yang sama, Nurul mula mendapat kepercayaan daripada media massa yang menawarkannya peluang menyolek dan menata rias artis popular dan majalah hiburan popular, URTV merupakan majalah pertama yang memberi kepercayaan padanya. Ketika itu, dia diamanahkan menyolek artis wanita popular, Kuza.
Daripada situ, dia mengambil inisiatif mengembangkan kerjayanya dengan mengikut jejak langkah temannya, Raja Malek melibatkan diri dalam bidang pengiklanan. Raja Malek yang mengagumi bakat seni Nurul memberi kepercayaan padanya untuk terlibat dalam pengiklanan sempena sambutan Hari Krismas bagi pusat membeli-belah Metrojaya. Dan Nurul berjaya membuktikan kepercayaan itu tidak sia-sia. Dua tahun selepas itu, Nurul berhijrah pula ke Stage Saloon bersama-sama dengan temannya, Bani dan Am.
Tidak lama selepas itu pula, sekali lagi selepas mempunyai keyakinan diri dan menimba pengalaman, Nurul membuat keputusan untuk berdikari dan meneruskan langkah dengan caranya tersendiri.
Sudah tertulis rezeki Nurul sememangnya dalam gelanggang persolekan, dia kemudiannya mula mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat rakaman yang tertarik dengan gayanya menyolek selebriti.
Individu penting di sebalik permulaan kerjasama Nurul dengan syarikat rakaman ialah Jamil Mohamed. Beliau merupakan teman yang mengetengahkan bakat seni Nurul kepada cahaya kemilau glamor.
Jamil yang berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di syarikat rakaman antarabangsa, Polygram Records memberi kepercayaan kepada Nurul untuk menyolek artis di bawah syarikatnya, Haiza yang juga seorang penyanyi dangdut yang cukup masyhur sekitar awal tahun 1990-an.
Bersama Haiza, Nurul memperkenalkan dimensi baru dalam bidang solekan dan dandanan sehinggakan gayanya menjadi ikutan dan kegilaan artis dangdut lain. Tugas ini benar-benar mencabar kreativiti Nurul.
Harus diakui, Jamil memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu menaikkan nama Nurul di persada seni tanah air. Dia juga teman di waktu susah dan senang Nurul khususnya ketika di awal penglibatan Nurul dengan selebriti ternama tanah air.
Selepas Haiza, syarikat rakaman yang sama menawarkan Nurul kepercayaan menyolek penyanyi hitam manis, Nurul Huda dan Erra Fazira yang juga artis rakaman syarikat berkenaan. Seperti Haiza, Nurul Huda dan Erra Fazira tidak terlepas daripada menggagumi teknik solekan beliau.
Kalau sudah namanya jurusolek artis, Nurul tidak terlepas mendapat populariti. Namanya semakin menjadi sebutan ramai termasuk penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza Tarudin.
Siti Nurhaliza ‘melamar’ Nurul untuk menyoleknya selepas dia meraih Anugerah Juara Lagu TV3 menerusi lagu Jerat Percintaan pada tahun 1996.
Khidmat Nurul dengan Siti Nurhaliza benar-benar memberikan tuah buatnya. Dari sini, Nurul mendaki tangga-tangga kejayaan. Bermula dengan menyolek Siti Nurhaliza sebagai penghias muka depan majalah popular Jelita (terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd.), dia kemudiannya diberi amanah untuk mencantikkan wajah Siti Nurhaliza untuk album kedua penyanyi itu pula.
Daripada situ, nama Nurul Shukor begitu sinonim dengan Siti Nurhaliza. Pendek kata, Nurul merupakan jurusolek peribadi Siti Nurhaliza. Kelibat Nurul sentiasa di samping penyanyi itu sama ada ketika Siti Nurhaliza menyertai pertandingan nyanyian, menghadiri majlis anugerah ataupun ketika mengadakan persembahan, Nurul akan bertanggungjawab menata rias wajahnya.
Nurul juga diberi kepercayaan menyolek Siti Nurhaliza untuk kulit album penyanyi itu seperti album Aku Cinta Padamu, Adiwarna, Pancawarna, Sanggar Mustika, Safa, Prasasti Seni, Transkripsi (sekadar menyebut beberapa nama).
Bekerja dengan Siti Nurhaliza sangat menyenangkan Nurul. Kedua-dua mereka memiliki keserasian. Bahkan keakaraban mereka sudah seperti adik beradik.
Namun begitu, detik yang disifatkan sebagai puncak kerjaya Nurul sebagai jurusolek ialah pada hari pernikahan penyanyi popular itu pada tahun 2006. Masakan tidak, Nurul diberi kepercayaan untuk menyolek wajah Siti Nurhaliza pada majlis pernikahan yang disifatkan oleh media sebagai Perkahwinan Mega.
Selain itu, profil kerjaya seni Nurul turut terisi dengan tugasan menyolek isteri kepada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah, Cik Julita Aishah Abdul Latif pada tahun 2002.
Tidak ketinggalan, Nurul juga merupakan individu yang menyolek kepada Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim pada hari majlis pernikahan dan resepsi baginda dengan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Bukan saja menjadi pilihan kerabat diraja dalam negara, bahkan Nurul turut diintai oleh kerabat diraja negara Brunei Darussalam. Pengiran Sufri Bolkiah iaitu adinda Sultan Brunei juga pernah mendapatkan khidmat Nurul untuk menyolek puteri sulung baginda, Princess Kamelia pada hari perkahwinannya.
Satu lagi sejarah buat Nurul apabila dia juga bertindak sebagai jurusolek ketika majlis persandingan perkahwinan pasangan penyanyi popular, Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim pada tahun 2003.
Biarpun menempa kemasyhuran sebagai jurusolek selebriti, namun impian Nurul untuk mengasaskan akademi kecantikan serta mengendalikan salun kecantikan dan dandanan tidak pernah luntur.
Hasratnya untuk memiliki perniagaan berteraskan kecantikan adalah puncak kepuasan buat dirinya.
Awal tahun 2003 merupakan permulaan kepada usaha merealisasikan impian itu. Dan kini Nurul Shukor Touch merupakan manifestasi kepada cita-cita jurusolek berjiwa besar, Nurul Shukor.
Di Nurul Shukor Touch, Nurul pasti akan merealisasikan impian anda…
" PERFECT TOUCH WILL LAST FOREVER"